Tangkuluk..identiti pakaian masyarakat Banjar |
Pengalaman selama 15 tahun mencari rezeki, merantau di kota dan kembali semula menetap di kampung halaman telah menyedarkan saya tentang betapa perlunya mengekalkan atau merawat adat dan budaya banjar yang hampir dilupakan. Jika tidak dapat mengekalkan atau merawatnya, sekurang-kurangnya dapat memperkenalkan tentang adat dan budaya banjar kepada generasi muda. Kehidupan di kota yang lebih modern menyebabkan ramai generasi muda kampung berhijrah ke kota untuk mencari rezeki. Percampuran kaum, adat dan budaya di suatu kejiranan atau penempatan sedikit sebanyak telah meragut adat-adat dan budaya banjar dengan halus tanpa kita sedari. Malah, orang banjar yang tinggal di kota juga sudah tidak menggunakan bahasa banjar sebagai bahasa pertuturan mereka.
Percampuran kaum, adat dan budaya telah menyebabkan adat yang dibawa oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu bercampur baur dan terciptalah adat yang telah dipermodernkan. Di malaysia, adat dan budaya asal atau asli orang banjar sudah jarang diamalkan. Kebanyakan adat dan budaya banjar kini telah bercampur. Adat perkahwinan juga lebih mirip kepada adat orang melayu.
Tidak dinafikan, ada sesetengah adat dan budaya banjar telah tenggelam dalam arus pembangunan dan pemodenan. Ada juga adat dan budaya banjar yang sudah tidak relevan lagi untuk diteruskan atau diamalkan. Dengan bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar yg diberikan oleh para Ulama dan Ustadz, adat-adat dan budaya banjar yang melanggar hukum syarak dan akidah islam telah dihentikan.
Sekiranya adat dan budaya banjar tidak dirawat adalah tidak mustahil jika suatu hari nanti cucu cicit kita tidak tahu apa itu pukung, wadi, tanggui, hancau, ranggaman, tangkuluk dan banyak lagi yang sinonim dengan orang banjar. Anak-anak kita juga mungkin ramai yg sudah tidak memahami bahasa banjar, bahasa ibunda mereka sendiri. Semasa zaman datok nenek kita dahulu, mereka masih mampu dikenali sebagai orang banjar sekiranya mereka berdiri di sesebuah tempat tanpa menuturkan walau sepotong ayat pun dalam bahasa banjar. Ini kerana mereka mempunyai identiti mereka sendiri. Pakaian yang melambangkan mereka adalah orang banjar, seperti pemakaian tangkuluk.
Atas kesedaran inilah saya cuba menghidupkan, merawat dan memperkenalkan semula adat serta budaya banjar kepada generasi muda, seangkatan dengan saya yang merupakan generasi pelapis supaya kita tahu apa dan siapa itu banjar. Di mana asal usul nenek moyang kita, apa keistimewaan serta keunikan orang banjar dan mengapa kita harus malu untuk mengakui bahawa kita lahir dari keturunan banjar. Saya melihat perkara ini sebagai satu kewajipan dan tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap orang yang bergelar anak banjar supaya dapat memastikan adat dan budaya banjar tidak dilupakan, pupus dan tenggelam ditengah arus globalisasi yang kian mencengkam.
Terdapat banyak persamaan adat, amalan dan budaya banjar di Malaysia dan
banjar di Banjarmasin. Budaya batangkuluk juga di amalkan oleh kedua
negara. Tangkuluk tidak sepopular kain sasirangan tetapi tangkuluk
juga mempunyai fungsi yang sama dengan kain sasirangan iaitu merupakan
identiti orang banjar. Suatu ketika dahulu, kain sasirangan merupakan
pakaian para bangsawan manakala tangkuluk pula dipakai oleh golongan pertengahan dan kebawah. Tangkuluk
merupakan kain sarung yang dilipat di atas kepala yang dijadikan
penutup kepala. Budaya batangkuluk kini sudah hampir pupus
penggunaannya. Tidak ramai orang bercerita tentang tangkuluk, maka ia hampir dilupakan. Di Malaysia, tangkuluk memang sudah tidak digunakan lagi. Jika generasi yang terdahulu sudah tidak lagi menggunakan tangkuluk,
rasanya tidak salah jika saya katakan bahawa generasi muda memang tidak
mengenali malah tidak pernah mendengar apa yang di katakan sebagai tangkuluk.
Penggunaan tangkuluk sudah tidak relevan untuk
diamalkan. Ini kerana cara pemakaiannya tidak menepati citarasa dan
hukum. Kini penggunaan tudung lebih efektif, malah cara pemakaiannya
yang lebih mudah dan harganya yang berpatutan amat menarik berbanding
penggunaan tangkuluk.
Tangkuluk....apakah akan hilang? |
No comments:
Post a Comment