Sunday, 26 April 2015

Pamali atau pantang larang dalam masyarakat Banjar

PAMALI
Pamali bermaksud pantang atau larangan yang jika dilanggar akan menyebabkan sesuatu balasan atau tulah. Orang zaman dahulu menggunakan pamali sebagai salah satu kaedah untuk mendidik dan mengajar anak supaya mematuhi perintah, arahan dan suruhan dengan lembut secara  psikologi. Anak-anak akan akur dan mematuhi pantang larang tersebut  walaupun mereka tidak rela kerana khuatir akan mendapat balasan, kecelakaan atau tulah di kemudian hari.

Pamali diciptakan oleh nenek moyang kita dalam semua aspek kehidupan. Tidak ketinggalan juga pantang larang atau pamali ini ditekankan dalam proses pembuatan makanan atau masakan. Dalam proses pembuatan tapai, kita dilarang bermasam muka nanti tapai yang dihasilkan juga masam. Perempuan yang dalam keadaan  ‘datang bulan’ juga dilarang membuat tapai nanti tapai yang dihasilkan berwarna merah.

Orang zaman dahulu kebayakannya mejadikan pertanian sebagai punca rezeki mereka seperti  menoreh pokok getah. Pokok getah lebih produktif mengeluarkan hasil pada waktu subuh. Maka mereka menciptakan satu kata, pamali bangun lambat nanti rezeki lambat masuk. Ia merupakan satu cara untuk mendisiplinkan diri kerana zaman dahulu tidak perlu ‘’punch card’’ untuk datang dan balik kerja.

Kita sering diingatkan, kalau sudah dalam perjalanan, jangan berpatah balik nanti akan terlibat dengan kecelakaan. Dalam keadaan tergesa-gesa untuk pergi ke suatu tempat, kadang kala ada barang penting yang tertinggal.  Ia mungkin hanya penyebab berlakunya kecelakaan dan ia berlaku hanya kerana kebetulan.

Nenek juga pernah berkata, jangan ambil gambar bertiga. Nanti orang yang ditengah mati dulu. Kita tidak boleh mempercayainya kerana ajal maut itu telah ditentukan oleh Tuhan. Kita seharusnya mentafsir pamali berdasarkan kepada hukum islam. Nenek juga tidak dapat menghuraikan mengapa kata pamali ini terwujud.

Banyak pamali yang diturunkan oleh nenek moyang kita dalam aktiviti harian kita. Nenek kata walaupun sudah kenyang, nasi dalam pinggan mesti dihabiskan nanti nasi menangis. Ia merupakan pujukan kepada anak kecil supaya mereka tidak membazir dan menghargai rezeki yang telah diberikan kepada kita.

Zaman dahulu tiada sofa seperti zaman sekarang. Ramai kanak-kanak memilih untuk duduk di atas bantal kerana ia lembut dan sangat selesa. Maka terciptalah pamali duduk atas bantal, nanti berbisul. Mereka akan  patuh dengan pamali itu kerana takut akan berbisul jika duduk atas bantal. Bantal dibuat khas untuk meletak kepala, adalah tidak sopan jika bantal dijadikan lapik untuk duduk. Bisul hanya dijadikan subjek dan tiada kaitan dengan duduk di atas bantal. Ia hanya psikologi dalam memberi nasihat dan mendidik anak-anak.

Pamali juga diterapkan dalam cara pergaulan kita seperti menghormati orang yang lebih tua. Kita dilarang makan berdahulu dari orang tua, nanti susah dapat rezeki. Dalam pembuatan bubur kakicak atau gayam, kanak-kanak dilarang makan ibu gayam. Kanak-kanak juga dilarang makan organ dalaman ayam seperti hati dan pedal. Sebenarnya mereka menerapkan cara-cara menghormati orang yang lebih tua dengan kata pamali.

Terdapat banyak pamali yang telah diturunkan oleh nenek moyang kita dan masih diikuti sehingga kini. Kita harus mentafsir pamali dengan rasional dan bersandarkan kepada hukum islam kerana ada juga sesetengah pamali itu bertentangan dengan hukum dan syariat. Kebanyakan pamali tidak disertakan sebab dan punca dan mungkin berlaku hanya kerana kebetulan.Pamali lebih kepada cara mendidik dan mengajar anak-anak.

1.      Jangan tidur waktu senja nanti dirasuk syaitan
2.      Anak dara tak boleh masak sambil menyanyi nanti dapat suami tua
3.      Jangan makan dengan tangan kiri nanti syaitan tumpang makan
4.      Jangan makan beralih-alih tempat, nanti kawin ramai
5.      Jangan menyapu waktu malam nanti rezeki susah masuk
6.      Lepas berkhatan tak boleh menangis nanti kawin dengan janda
7.      Jangan makan depan pintu nanti susah dapat jodoh
8.      Jangan makan sambil bercakap nanti syaitan masuk dalam mulut
9.      Jangan bergulung dalam tikar nanti kalau mandi laut akan mati digulung ombak
10.  Jangan masam muka masa mengandung nanti anak lahir tak cantik / kacak
11.  Jangan duduk tengah pintu waktu hujan nanti dipanah petir
12.  Jangan sepak orang tua nanti kaki besar sebelah.
13.  Ibu hamil tidak boleh bermalas-malas, lengah-lengah atas katil bila dah bangun tidur nanti bayi lambat keluar
14.  Jangan makan dalam pinggan yang berlapis nanti pasangan curang
15.  Jangan menjahit baju yang sedang dipakai nanti selalu ditimpa masalah
16.  Jangan berpayung dalam rumah nanti ular masuk
17.  Jangan biarkan tempat menyimpan beras licin tak berisi nanti rezeki kurang
18.  Jangan makan kaki ayam nanti tulisan tak cantik
19.  Ibu hami tak bolah merendam baju nanti air ketuban kering baru bayi mahu keluar
20.  Jangan makan tongkeng ayam nati mulu banyak cakap
21.  Jangan makan leher ayam nanti bila bersanding kepala teleng
22.  Jangan jual garam  dan jarum waktu malam nanti kedai tak maju
23.  Anak dara / teruna tak boleh beli barang 2nd hand nanti dapat jodoh dgn janda atau duda
24.  Jangan makan kerak nasi nanti rezekinya cukup-cukup
25.  Pasangan yang sudah bertunang tak bolah selalu bertemu nanti putus tuning
26.  Ibu hamil jangan suka berdiri depan pintu nanti pintu rahim lambat terbuka
27.  Ibu dalam pantang tak boleh makan bertambah nanti luka susah nak sembuh
28.  Perempuan tak boleh menghiris buah dan makan menggunakan pisau ke mulut nanti bersalin secara pembedahan
29.  Jangan petik buah dan makan atas pokok nanti buah habis dimakan keluang
30.  Jangan beri hadiah berbentuk kain kepada kekasih nanti hubungan tak panjang
31.  Ibu yang baru hamil tak boleh menyebarkan tentang kehamilannya, biar orang tahu dengan sendiri nanti keguguran
32.  Jangan bergambar bersama kekasih di pelamin orang nanti tak sempat bersanding di pelamin sendiri
33.  Suami tak boleh memancing semasa isteri hamil nanti bibir anak yang dilahirkan sumbing
34.  Jangan main sorok-sorok waktu senja nanti di sorok hantu
35.  Jangan makan sambil menongkat dagu nanti susah dapat rezeki
36.  Jangan menggantung kain sarung ke leher nanti akan mati tergantung
37.  Jangan tolak pelawaan makan, sekurang-kurangnya makan walaupun sedikit nanti kecelakaan
38.  Jangan potong rambut waktu malam nanti dapat mimpi buruk
39.  Jangan bertukar-tukar pakaian dengan orang lain nanti suami / isteri direbut orang
40.  Jangan potong kuku waktu malam nanti didampingi syaitan
41.  Orang lelaki dilarang makan tongkeng ayam nanti ikut cakap isteri
42.  Anak dara / teruna tak boleh bercermin dari cermin yang retak atau sudah pecah nanti rumahtangga tidak bahagia
43.  Ibu hamil tak boleh minum dalam cawan yang sumbing nanti bibir anak yang dilahirkan juga sumbing
44.  Jangan makan mendahului orang tua nanti susah dapat rezeki
45.  Jangan bersiul waktu malam nanti didatangi syaitan


No comments: