Sunday, 26 April 2015

Mistik si ikan puyu



IKAN PUYU - ANABAS TESTUDINEUS (Climbing Pearch)

Ikan puyu dikatakan tidak tidur malam dan sifatnya itu dipercayai mampu  menghalang  atau dapat membuat menggagalkan ilmu hitam yang ditujukan kepada isi rumah pembela ikan puyu.Ikan puyu juga dipercayai dapat mematahkan ilmu pukau dimana mentera atau jampi yang digunakan tidak akan menjadi. Menurut cerita, ikan puyu merupakan alat permainan orang bunian  dan juga toyol. Dengan adanya ikan puyu didalam rumah, toyol akan leka  bermain  dengan ikan dan lupa dengan niat asalnya untuk mencuri duit tuan rumah. 

Suatu ketika dahulu, ikan puyu juga digunakan semasa ibu melahirkan anak. Bidan akan meletakkan seekor ikan puyu dedalam kain dan digantung di tengah-tengah pintu utama rumah ibu yang ingin melahirkan anak. Ikan puyu ini akan dibiarkan kering dan mati dengan sendirinya di dalam kain tersebut. Ia dipercayai dapat menghalang ilmu hitam yang ditujukan kepada ibu bersalin bagi mengganggu proses kelahiran bayi.

Ikan puyu hidup di dalam sungai atau tasik air tawar. Ikan puyu mampu hidup lama kerana ia mampu berhijrah mencari lopak air untuk hidup.Ikan puyu bergerak didaratan dengan menggunakan sirip dada dan sirip ekornya yang kuat dan tajam. Ia berfungsi untuk mencengkam tanah dengan berkesan. Sirip-siripnya yang tajam dan kuat ini juga digunakan sebagai senjata untuk melindungi diri daripada dimakan oleh ikanlain. 

Ikan puyu akan berpindah mencari lopak air dalam kumpulan pada waktu malam untuk keselamatan. Ikan puyu mampu hidup tanpa air untuk beberapa jam tetapi perlu dalam keadaan lembap. Ikan puyu merupakan ikan yang tahan lasak. Pada musim kemarau, ikan puyu mampu menggali lubang dan membenamkan diri ke dalam lumpur dalam tempoh yang lama untuk berhibernasi dan keluar pada masa yang sesuai.

Ikan puyu mempunyai lendir yang berfungsi sebagai antibodi mengatasi serangan penyakit yang tidak dimiliki oleh spesis ikan lain.Untuk memancing ikan puyu, kebiasaannya cengkerik akan dijadikan sebagai umpan. Waktu tengahari adalah masa yang paling sesuai untuk menangkap ikan puyu kerana waktu tengahari adalah waktu ikan puyu memburu umpan.

Ikan puyu jantan mempunyai tubuh yang lebih kecil berbanding dengan puyu betina dan pergerakan puyu jantan lebih lincah dari puyubetina.Ikan puyu dikatakan mempunyai khasiat untuk meningkatkan tenaga lelaki dan melambatkan proses penuaan bagi wanita.

Disebalik cerita mistik si ikan puyu juga sangat lazat dijadikan juadah. Terdapat bermacam-macam menu juadah dari ikan puyu. Saya menggemari ikan puyu goreng dicicah dengan kicap yang diricihkan dengan bawang merah dan cili api. Ikan puyu masak lemak cili api yang dicampurkan dengan belimbing buluh juga bisa menggugat diet saya.Ikuti entry saya yang seterusnya dengan resepi ikan puyu masak lemak cili api.




No comments: