Friday, 24 April 2015

Wadai Kiping hidangan tradisi masyarakat Banjar


 Wadai Kiping hidangan tradisi masyarakat Banjar

Keakraban sesama orang Banjar dapat di pupuk  melalui masakan dan makanan. Pada sebuah majlis keramaian atau majlis kenduri, pasti akan ada makanan yang diproses dan dimasak secara beramai-ramai untuk dihidangkan dalam  kuantiti yang banyak dan dimakan beramai-ramai, seperti kuih yang disebut  "wadai  kiping / gayam / kikicak”.

Suatu ketika dahulu, wadai kiping atau bubur gayam adalah  hidangan wajib jika dalam sesebuah majlis  kenduri. Para wanita akan diberi tugas menggentel tepung untuk membuat wadai kiping dan seterusnya akan dijamu  kepada tetamu yang hadir.  Kaum lelaki  pula telah  mempunyai tugas masing-masing.               

Semasa kaum wanita  sedang sibuk menyiapkan gentelan gayam, suasana akan berselang seli dengan suara riuh rendah, gurau senda dan  hilai  tawa. Disinilah  keistimewaannya,  menyediakan bubur gayam untuk kenduri pastinya memerlukan  adunan tepung yang banyak. Proses menggentel tepung memerlukan kerjasama jiran tetangga, sekurang-kurangnya 20 orang diperlukan untuk memastikan bubur gayam dapat dihidangkan seawal mungkin.               

Keakraban dan kerjasama amat jelas kelihatan. Rasa penat menggentel wadai kiping tidak akan terasa kerana terhibur dengan gurau senda, usikan nakal dan gelak tawa yang silih berganti semasa menggentel tepung. Budaya memasak wadai kiping atau bubur gayam ini masih diteruskan hingga ke saat ini bilamana ada majlis kenduri. Dahulu, wadai kiping akan menjadi hidangan wajib apabila tiba musim menuai padi, selepas selesai  menuai padi secara beramai-ramai  atau dikenali sebagai ‘’badarau’’ dalam masyarakat Banjar, mereka pasti akan dihidangkan dengan bubur gayam.

Generasi Banjar sekarang ada yang tidak mengetahui apakah yang dinamakan wadai kiping ini.  Berselari dengan peredaran zaman, hidangan bubur gayam telah dipermodernkan. Dahulu, wadai kiping cuma disajikan dengan warna pandan (hijau) sebagai pewarna. Kini gayam disajikan dengan pelbagai warna, ini sedikit sebanyak telah dapat menarik minat kanak-kanak untuk menikmati rasanya.              
Rasa  manisnya juga dikurangkan dan disesuaikan untuk  menjaga kesihatan. Santan juga boleh ditukar kepada susu krimer supaya tidak terlalu  lemak.  Diingatkan juga mengubah atau menggantikan bahan asal sedikit sebanyak akan mengubah rasa asal bubur wadai kiping yang  sebenarnya.

Mengikut cerita arwah nenek, budak-budak  tidak boleh makan " ibu" wadai kiping, Katanya nanti dikhuatiri akan sakit perut. Ini hanyalah psikologi, cara orang zaman dahulu mendidik anak. Rasa ibu wadai kiping adalah lebih berrbanding dengan rasa isi bubur wadai kiping yang lainnya. Kuantitinya pula hanya sedikit. Maka, orang yang lebih tua harus dihormati dan mesti diberi keutamaan.

Artikel yang kak yang tulis telah dicetak ke dalam  akhbar  'Bahtera Banua' dalam ruangan Atang keluaran Mei - June 2013 di Banjarmasin

wadai  kiping / gayam / kikicak
1.   
           RESEPI WADAI KIPING / BUBUR GAYAM

B     Bahan-bahannya:-
·         ½ kilo tepung pulut
·         1 sudu kecil air kapur masak
·         Secubit garam
·         1 cawan pati pandan(diambil dari 30 helai daun pandan yang dikisar dan ditapis dengan secawan air) atau boleh juga digantikan dengan pewarna hijau tiruan
·         2 genggam kelapa parut (dicampurkan dalam adunan tepung ibu gayam)
·         2 mangkuk santan dari sebiji kelapa
·         1 senduk gula merah yang di bancuh dengan 1 cawan air dan di tapis
·         ½ kilo gula pasir
·         2 helai daun pandan

C     Cara penyediaannya :-
·         Gaulkan tepung pulut, air kapur dan garam.
·         Tuangkan air pati pandan sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh di uli dan tidak melekat pada jari
·         Asingkan sedikit adunan untuk dijadikan ibu gayam dan campurkan dengan kelapa parut (jika ingin membezakan ibu dan anak gayam, ibu gayam tidak perlu di adun dengan pati pandan. Hanya gunakan air kosong)
·         Gentelkan adunan berbentuk bulat dan tekan gentelan tepung tadi dengan jari untuk mendapatkan bentuk leper
·         Gentelkan adunan ibu gayam dengan gentelan yang lebih besar
·         Masak santan dengan api sedehana dan harus sentiasa di kacau supaya santan tidak pecah minyak
·         Masukkan gula putih,  gula merah sedikit garam dan daun pandan
·         Kacau sehingga bahan sebati dan mendidih
·         Masukkan gentelantepung ke dalam periuk sedikit demi sedikit sambil dikacau supaya gentelan tepung tadi tidak  melekat antara satu sama lain.

·         Apabila gentelan tepung yang telah  tadi timbul, itu bermakna bubur telah masak 

Ibu gayam..rasanya lebih lemak kerana tepungnya digaul bersama kelapa parut
Kuantiti ibu gayam biasanya 1/3 daripada kuantiti anak gayam
Anak gayam
Tepung yang telah siap digentel dan telak sedia untuk dimasak
Bubur gayam sudah dimodernkan dengan menambahkan pewarna supaya kelihatan lebih menark.



No comments: