Sunday 26 April 2015

Kunci air 12, Head work pernah menjadi tapak pesta Mandi Safar

PESTA MANDI SAFAR – MANDI TOLAK BALA


Suatu ketika dahulu, masyarakatBanjar di Sungai Manik khasnya dan masyarakat melayu secaraamnya pernah mengamalkan Mandi Safar. Mandi Safar ini diamalkan kerana mereka menganggap Bulan Safar sebagai bulan Sial, bulan Nahas atau bulan Bala. Didalam bulan Safar terutamanya pada hari Rabu terakhir, Allah banyak menurunkan bala kepada makhluknya di dunia ini. Masyarakat terutamanya yang tinggal berhampiran dengan sungai atau pantai akan mengadakan upacara Mandi Safar dengan mandi beramai-ramai yang disertai dengan jampi dan doa. Pelbagai acara sukaneka juga turut diadakan semasa upacara Mandi Safar berlangsung. Masyarakat banjar di Sungai Manik juga turut menyertai upacara tersebut. Upacara tersebut diadakan di kunci air atau lebih dikenali dengan Head Work atau Hewok oleh masyarakat banjar di Sungai Manik. 



Upacara Mandi Safar diadakan kononnya untuk meraikan dan menyatakan kesyukuran kerana junjungan kitaNabi Muhammad s.a.w. telah sembuh daripada sakit yang amat berat. Mereka juga mempercayai bahawa dengan melakukan Mandi Safar akan dapat menghapuskan dosa dan dapat menolak bala.



Kepercayaan menganggap bulan Safar sebagai bulan Sial, bulan Nahas atau bulan Bala merupakan satu amalan bidaah dan khurafat. Mempercayai dan mengamalkan mandi safar merupakan satu dosa kerana pada upacara tersebut, lelaki dan perempuan bergaul dengan bebas tanpa batasan. Dalam upacara tersebut, risiko untuk lemas akibat kelalaian dan kecuaian juga amat tinggi.



Pada hari upacara Mandi Safar, masyarakat banjar di Sungai Manik akan pergi ke Kunci air 12 Head Work yang jaraknya lebihkurang 3 batu dari Sungai Manik dengan mengayuh basikal beramai-ramai dan ada juga yang datang dengan menaiki bas yang melalui Sungai Manik iaitu bas dari Teluk Intan ke Tapah. Menurut penceritaan seorang wargatua di Sungai Manik, upacara tersebut bukan sahaja dihadiri oleh masyarakat yang berhampiran tetapi juga disertai oleh peserta yang datang dari Sungai Besar dan Sabak Bernam. Gerai jualan juga di buka pada hari tersebut. Terdapat pelbagai makanan dan minuman disediakan untuk dijual dan dinikmati oleh peserta-peserta Mandi Safar.




Alunan muzik, nyanyian, jampi serapah dan bacaan zikir tertentu akan mengiringi upacara tersebut. Seorang ustadz akan mengetuai upacara Mandi Safar dengan membaca ayat Al-Quran dan zikir serta merendam kertas yang dilukis rajah atau lebih dikenali sebagai wafak kedalam sungai sebagai pembuka acara sebelum orang ramai mula bermandi-manda. Dalam upacara Mandi Safar, peserta akan mandi dengan membaca jampi tertentu sambil menghanyutkan cebisan ayat-ayat Al-Qur'an dan kertas yang ditulis dengan doa. Ada juga segelintir peserta yang mandi dengan air dari dalam botol yang telah dimasukkan kertas bertulis ayat Al-Quran dan diiringi dengan jampi. Cebisan ayat Al-Quran yang dihanyutkan akan dibawa arus tetapi ada juga yang tersangkut di tebing sungai dan tidak mustahil ada orang yang akan terpijak cebisan tersebut.



Amalan Mandi Safar ini pernah menjadi pesta tahunan di Pantai Tanjung Keling, Melaka pada suatu ketika dahulu. Berdasarkan kepada kepercayaan dengan mengamalkan mandi Safar, berpuasa Safar dan membuat kenduri tolak bala khas di bulan Safar yang kononnya untuk mengelakkan perkara buruk ini dari berlaku adalah khurafat kerana tiada asas ataupun sumber rujukan dari mana asalnya kepercayaan itu. Terdapat segelintir masyarakat yang menulis ayat wafak pada kertas atau pinggan mangkuk yang kemudian diletakkan dalam tempayan, kolam, perigi atau sungai yang airnya akan dimandikan atau di minum kononnya dapat mengelakkan daripada bala buruk pada hari berkenaan.

 

Kita diminta untuk sentiasa meningkatkan amalan-amalan baik dari hari kehari tanpa mengira bulan. Tiada amalan istimewa yang dikhaskan pada bulan Safar yang menjadi amalan Rasulullah S.A.W dan para sahabat. Terdapat pelbagai kepercayaan dan amalan yang dikaitkan dengan bulan Safar. Diantara kepercayaan yang berkaitan dengan bulan safar adalah :

·         Jangan mengadakan majlis perkahwinan dan keramaian.
-          Pasangan pengantin akan sentiasa mendapat dugaan dan tidak akan bahagia.
-          Pasangan akan sukar atau tidak akan mendapat zuriat.
-          Jodoh pasangan pengantin tersebut tidak akan berkekalan.

·         Bayi yang lahir pada bulan Safar akan bernasib malang.
-          Bayi tersebut dipercayai akan membawa malang atau sial.
-          Bayi mudah mendapat penyakit dan tidak sihat.
-          Bagi masyarakat banjar, bubur merah bubur putih akan dimasak dan dijamu kepada jiran-jiran       supaya bayi yang lahir pada bulan safar tidak sakit dan tidak ditimpa malang.

·         Burung hantu petanda kemudaratan.
-          Jika bertemu dengan burung hantu semasa dalam perjalanan di bulan Safar, mereka harus berpatah semula kerana dipercayai bahawa jika mereka meneruskan perjalanan, mereka akan ditimpa kemalangan.

·         Burung gagak petanda kematian
-          Jika burung gagak berlegar-legar di kawasan rumah dalam bulan Safar, dipercayai akan berlaku kematian dalam masa terdekat.

 .       Rabu terakhir adalah hari malang
-      Pada hari Rabu terakhir di bulan Safar, kebiasaannya ibu bapa akan cuba menghalang anak mereka daripada melakukan aktiviti di luar rumah kerana mereka percaya bahawa akan berlaku suatu perkara yang buruk pada hari tersebut.  

Riwayat Imam Al- Bukhariyang bermaksud:
“tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudharatan burung, tiada bala bulan Safar dan larilah engkau dari orang yang berpenyakit kusta sepertimana engkau lari dari singa”

Kepercayaan karut yang menyalahi akidah akan membawa kepada syirik dan akan merosakkan iman. Ia akan mempengaruhi amalan yang mana amalannya tidak diterima oleh Allah S.W.T. Mengamalkannya pula adalah bid’ah dhalalah dan hukumnya adalah haram. Terdapat banyak lagi kepercayaan dan amalan-amalan yang karut berkaitan dengan bulan Safar ini mengikut kawasan-kawasan  dankaum-kaum tertentu. Oleh itu ilmu agama yang berpandukan al-Qur’an dan as-Sunnah adalah neraca untuk menilai setiap sesuatu samaada mengikut syarak atau sebaliknya. Dengan usaha ahli-ahli agama dan berkat kesedaran Islam di kalangan masyarakat Banjar, upacara ini berjaya dihapuskan sedikit demi sedikit.Kini pada tahun 2014, upacara mandi Safar sudah tidak diamalkan lagi  oleh masyarakat Melayu secaraamnya dan masyarakat banjar di Sungai Manik secara khasnya. Kunci air 12, Head work yang suatu ketika dahulu pernah menjadi tumpuan orang ramai untuk melakukan Mandi Safar kini dikenali sebagai Jambatan Mc. Donald oleh penduduk sekitar kerana jambatannya berbentuk seperti huruf ‘’m’’ dan menjadi tempat pilihan pemancing ikan sungai. Di tepi jambatan juga ada disediakan pondok untuk pemancing berteduh dan berlindung dari cuaca panas atau hujan.

 


  

 


















No comments: