Thursday 26 May 2016

Funtasy House Trick Art - Ipoh


Pejam celik…pejam celik rupanya dah hampir 5 tahun kami sekeluarga berpindah ke Teluk Intan. Walaupun saya dan suami memang orang Teluk Intan, jujur saya katakan tak banyak tempat pelancongan yang kami ketahui di Perak. Balik balik ke Lumut dan Pangkor. Rupanya masih banyak tempat yang menarik kat Perak ni. Saya mencari info dari internet dan berbincang dengan keluarga untuk aktiviti kami pada hujung minggu nanti. Kebetulan pula syarikat tempat saya bekerja ada program rombongan ke Pulau Langkawi dari 13 May  2016 hingga 16 May 2016. Pekerja yang tidak mahu mengikuti program tu diberikan cuti, dapatlah saya dan keluarga berjalan-jalan ke tempat lain.





Saya memilih beberapa tempat rekreasi disekitar Ipoh dan saya mencadangkannya kepada anak-anak dan suami. Akhirnya kami sepakat untuk berkunjung ke Funtasy House Trick Art yang terletak di  Pekan Lama Ipoh (Ipoh Old Town). Kami memulakan perjalanan dari Teluk Intan ke Ipoh pada jam 2.00 Petang. Kami menggunakan khidmat waze untuk mencari jalan. Maklumlah, kami memang tak tau selok belok jalan kat Ipoh ni. Sempat juga lah terpusing-pusing sampai jumpa stesyen keretapi Ipoh. Setelah beberapa kali tersesat, akhirnya kami sampai juga ke tempat yang kami cari pada jam 4.00 petang. Nasib baik tempat ni tak tutup lagi.



Memang kami tak sangka bangunan ni terletak di celah-celah bangunan kedai 2 tingkat di Pekan Lama Ipoh. Kami menjangkakan Funtasy House Trick Art ni terletak di sebuah bangunan yang besar diatas tapak tanahnya sendiri. Sign boardnya yang cuma sebesar  bola sepak  juga tidak berapa jelas dan tidak kelihatan dari jalan raya. Memang susah sikit nak cari tempat parking kereta kat area ni. Bahu jalan juga sempit. Kami parking kereta di lorong yang lagi satu dan berjalan kaki pergi ke galeri seni tersebut. Untuk masuk kedalam galeri ini, kasut perlu ditanggalkan terlebih dahulu. Semasa masuk ke pintu utama galeri ni, saya terpinga-pinga. Betul ke tempat ni? Saya memakai semula kasut yang saya tanggalkan sebelum masuk tadi dan melihat semula signboard diluar bangunan. Sah! Memang tak salah tempat. Tapi kenapa keadaannya macam pelik.Dalam bangunan tersebut dibina sebuah rumah kedai atau rumah papan 2 tingkat yang tingkat bawahnya dijadikan kedai. Hiasannya yang sangat bersahaja dimana diletakkan tin-tin biskut besar. Didalam binaan rumah kampung itu juga terletaknya kaunter tiket.


Suami saya pergi ke kaunter tiket dan membeli 2 tiket dewasa  dengan harga RM 15.00 seorang dan 2 tiket kanak-kanak dengan harga RM 10.00 seorang. Kami disapa oleh  kakitangan galeri dan mereka sangat ramah, melayani segala pertanyaan kami dengan senyuman. Kami diekori oleh 3 orang kakitangan galeri dan salah seorang dari mereka memberi penerangan tentang Funtasy House Trick Art.  Kami dibawa ke dalam sebuah bilik yang dindingnya dilukis dengan lukisan 3D. Wow!!! Sangat mengujakan…cantik dan lukisannya ‘’hidup’’.  Menurut penerangan kakitangan galeri lagi, terdapat 26 lukisan 3D menggunakan tangan dihasilkan di galeri ini dan lukisan-lukisan ini terbahagi kepada 4 bahagian.

















Bahagian Pertama lebih kepada menggambarkan tentang Ipoh. Di sini terdapat lukisan Datuk Michell Yeoh yang berkungfu dengan berpijak pada sebuah pasu. Mengikut penerangan yang diberikan oleh kakitangan galeri, gambar Datuk Michelle Yeoh dipilih kerana beliau berasal dari Ipoh. Terdapat juga lukisan keretapi ETS dan 2 orang wanita sedang menghalang kain mereka dari tersingkap kerana ditiup angin dimana ia menggambarkan betapa lajunya keretapi ETS bergerak.  Lukisan yang menggambarkan banjaran Hot Spring juga terdapat di bahagian ini. Disebelahnya pula ada lukisan sebilah parang pemotong daging yang lengkap dengan papan lapiknya. Bahagian ini terletak  di dalam bilik yang berhampiran dengan kaunter tiket di tingkat bawah dan jika terus kedalam lagi, kalian akan menemui tandas. Boleh la buang apa yang patut atau mahu touchup makeup dulu pun boleh.  Jangan risau untuk bergambar di galeri ini kerana akan ada kakitangan yang memberikan idea  bagaimana gaya yang sepatutnya digayakan dengan lukisan-lukisan disini. Posisi semasa mengambil gambar juga telah ditandakan. Gaya yang sesuai membuatkan gambar yang diambil  nanti  kelihatan hidup. 


Bahagian kedua pua merupakan bahagian yang paling digemari oleh pengunjung galeri ini. Di sini terletaknya rumah terbalik atau ‘’upside-down house’’. Walaupun tidak dipamerkan seluruh rumah ,yang terbalik di galeri ini cuma ruangan dapur tetapi ia tetap dapat memuaskan hati pengunjung. Bahagian ini juga terletak di dalam sebuah bilik di tingkat bawah. Kalian perlu lebih kretif jika  bergambar di bahagian ini kerana meja dan  kerusi  terlekat pada dinding disebelah kiri kalian manakala  periuk dan kuali akan berada di atas kepala. Kalian sedang berpijak pada dinding dapur.  Gunakan kretiviti untuk membuatkan kalian seperti sedang terbang atau sedang memenjat dinding seperti spiderman. Pelbagai gaya boleh digayakan disini. Kalian juga boleh bergambar beramai-ramai, tidak semestinya berseorangan. Jika gayanya betul ia gambar yang terhasil nanti akan kelihatan hidup dan lebih natural. Disebelah ruang ini juga terdapatnya lukisan ikan sedang meragut umpan dan lukisan sang tikus sedang mencari makanannya dicelah-celah botol dan tin di ruang dapur.

Bahagian ketiga pula terletak di tingkat atas. Berhati-hati kerana kalian perlu menaiki anak tangga yang sedikit curam. Ruangan di bahagian ini dipenuhi dengan lukisan alam fantasi. Terdapat lukisan pokok kacang gergasi seperti dalam cerita dongeng kanak-kanak. Lukisan ini mengingatkan saya dengan cerita Jack dengan pokok kacang gergasi. Jack lahir dari keluarga yang miskin, dia membela seekor lembu dan ada seseorang ingin menukar lembunya dengan sebiji kacang ajaib yang dikatakan mampu membuat Jack menjadi kaya. Jack bersetuju dan dia menanam biji kacang tersebut Keesokannya kacang itu telah tumbuh, pucuk kacang tersebut boleh mencecah awan. Jack memanjat pokok kacang tersebut dan dia mendapati ada sebuah rumah diatas sana. Jack meminta makanan dari makcik gergasi pemilik rumah itu dan jack mencuri sepundi emas milik suami makcik tersebut. Semenjak hari itu,apabila emasnya telah habis dia akan naik ke langit untuk mencuri emas lagi. Perbuatannya akhirnya diketahui dan gergasi tersebut mengejarnya. Gergasi itu mengikut Jack meneruni pokok kacang ajaib. Jack berteriak meminta ibunya mengambil kapak dan Jack menebang pokok kacang tersebut sebelum gergasi berjaya menangkapnya. Akhirnya gergasi tersebut mati kerana terjatuh dari pokok kacang gergasi. Ibu Jack menasihatkan supaya Jack tidak mengulangi kesilapannya dan berusaha bersungguh-sungguh.








Selain daripada lukisan pokok kacang gergasi ada juga lakisan seekor katak yang sedang menangkap mangsanya dengan menggunakan lidahnya yang panjang. Ada juga lukisan pari-pari yang sedang terbang dan disana disediakan sebuah buaian untuk pengunjung beraksi disebelah pari-pari.  Berhampirannya pula ada lukisan telur gergasi yang sedang dimasak dalam air yang panas.Dari sudut dinding yang lain pula terdapat gambar keranda tetapi kami tidak mengambil gambar disitu kerana suami saya tidak menggemarinya.  Lukisan sebuah lohong atau lubang besar menarik perhatian kami untuk berposing seperti telah tergelincir dan jatuh kedalamnya. Pada dinding lainnya pula ada gambar seorang perempuan sedang menilik sesuatu pada balang kaca berbentuk bulat dimana kononnya dia mampu melihat apa sahaja yang ingin dilihatnya. Kami pergi pula ke sudut yang lain dimana ada lukisan harta karun yang diletakkan di dalam sebuah peti. Pada dinding lainnya pula ada lukisan  sebatang penyapu yang sering digunakan oleh seorang ahli sihir ‘’dark witch’’. Kalian boleh beraksi seperti sedang terbang dengan menaiki penyapu itu.









Kami berjalan  ke bilik yang seterusnya dan kami dapat beraksi dengan lukisan seekor gajah. Lukisan pada dinding dalam bilik ini menggambarkan bahawa kami sedang bersama ahli sarkas. Ada juga lukisan seorang ahli sarkas sedang bermain buaian dan dia seolah-olah ingin mencapai tangan pengunjung galeri supaya dapat bermain buaian sarkas bersama-samanya. Lukisan gelung berwarna warni juga ada di sudut ini. Lukisan seperti pin bowling bersama beberapa biji bola kecil yang dibaling ke udara menghiasi salah satu sudut.




 Kami keluar dari bilik ini dan pergi ke bilik yang seterusnya tetapi langkah kami terhenti. Rupa-rupanya ada lukisan pada lantai yang kami pijak. Ia seolah-olah kami sedang menyeberang dari tempat yang tinggi dengan hanya memijak seutas tali.



Bahagian ke empat pula merupakan ‘’punishment room’’ dimana lukisan dalam bilik ini menggambarkan tentang hukuman dan penyiksaan. Terdapat lukisan seorang petugas sedang menjalankan hukuman sebatan. Ada pula replika dari sebuah kayu yang digunakan untuk hukuman pancung kepala. Dari sudut dinding lainnya terdapat lukisan seorang petugas sedang menjaga pesalah yang digantung kaki keatas dan kepalanya ke bawah. Terdapat sebuah kerusi pasung yang biasanya digunakan untuk mengikat tangan dan kaki pesalah. Apa yang paling mengerikan adalah replika badan manusia yang dipotong menggunakan chainsaw  sehingga usunya terburai dan saya berposing disini sehingga ia kelihatan benar-benar berlaku.













Tanpa kami sedari rupa-rupanya sudan 1 jam setengah kami berada di dalam galeri ini. Semua lukisannya sangat mengujakan kami. Beraksi dengan perasaan membuat lukisan menjadi hidup. Kami diberitahu bahawa hanya ini sahaja lukisan yang ada di tingkat atas. Kami turun dengan sedikit kecewa kerani kami masih belum puas bergaya dan beraksi bersama lukisan-lukisan 3D. Kami turun semula ke tingkat bawah. Rupa-rupanya masih ada sebuah lukisan yang ingin kakitangan galeri tunjukkan kepada kami. Ia merupakan sebuah lukisan yang dilukis di atas lantai. Lukisan sebuah topi dan terdapat seekor burung disebelahnya yang diletakkan diatas sebuah meja kecil. Lukisan ini membuatkan saya sangat comel. Ia menggambarkan seorang magician sedang mengeluarkan saya yang telah dikecilkan sehingga dapat masuk kedalam sebuah topi. Walaubagaimanapun angle ketika mengambil gambar sangat perlu disini kerana kawasannya sangat terhad dan menyekat pergerakan juru gambar.


Kami menamatkan penjelajahan kami pada jam 5.30 petang dan rupa-rupanya pihak galeri juga ada meminta kakitangannya mengambil gambar pengunjung ketika beraksi dan gambar ini dijual dengan harga rm 10.00 sekeping. Ia dicetak dan diletakkan pada sebuah kertas keras seperti calendar yang mempunyai gambar Funtasy House Trick Art. Bagi kami sekeluarga, adalah sangat berbaloi-baloi kenangan yang yang kami perolehi walaupun kos yang kami keluarkan adalah sangat minima. Bagi yang ingin berkunjung kesini, kalian boleh menghubungi galeri ini di talian 05-2550007 atau boleh terus kesana di alamat No 16, Jalan Market, Ipoh.